"Dan tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan) sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." [2:148]
Melalui ayat di atas,kita dapat fahami bahawasanya ALLAH menyuruh manusia berlumba-lumba dan berebut-rebut dalam membuat perkara kebaikan bukannya buat kebaikan hanya apabila ada masa ‘free’.Berbeza dengan perlumbaan mana-mana pertandingan umpamanya lari 100M,akan ada nanti di akhir garisan orang yang menang dan kalah dan akan ada orang yang mendapat untung dan rugi,sebaliknya perlumbaan dalam membuat kebaikan tiada orang yang akan kalah dan rugi.Semuanya akan mendapat keuntungan.Cumanya lebih banyak amal kebaikan yang dilakukan oleh seseorang,lebih banyak pula keuntungan yang diperoleh.Lebih pantas seseorang kepada kebaikan,lebih pantas juga rahmat ALLAH Azza Wajalla ke atasnya.Inilah perkara yang kita perlu renungi bersama.
Seruan kepada berlumba-lumba dalam membuat kebaikan perlu kita semat di dalam minda kita.Ramai daripada kita yang suka menangguhkan untuk melakukan perkara yang baik sedangkan mereka mampu untuk melaksanakannya pada masa itu juga.Tindakan ini sebenarnya bercanggah dengan seruan ayat al-Quran di atas.ALLAH Azza Wajalla menyeru kepada hamba-hambanya supaya berlumba-lumba dan bersegera dalam membuat kebaikan.Kerana apa?Kerana manusia tidak mengetahui berapakah lagi baki umurnya yang tinggal  di dunia ini.Rata-rata daripada kita memasang angan-angan yang terlalu tinggi seakan-akan umur kita masih lagi panjang.Kita menganggap kita masih muda dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik,maut tidak akan singgah kepada kita.Sedarlah dan ingatlah sentiasa,bahawa ajal dan maut tidak pernah mengenal usia dan jantina,pangkat dan kedudukan.Ianya akan hadir apabila cukup tempoh yang ditetapkan ALLAH,tidak dipercepatkan walau sesaat dan tidak diawalkan walau sesaat.
Bayangkan jika sekiranya perkara kebaikan yang mampu kita lakukan sebentar tadi kita tangguhkan untuk hari esok,tiba-tiba ajal datang menjemput kita pada hari ini,maka amatlah malang dan ruginya diri kita ini.Bak kata pepatah Melayu;sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.Rugi di dunia hanya sementara.Seorang yang muflis di dunia tidak mustahil mampu untuk menjadi jutawan pada masa akan datang.Tetapi rugi di akhirat beerti rugi selama-lamanya.Tiada lagi peluang untuk diri kita mengumpul aset-aset kebaikan untuk dijadikan harta yang akan menyelamatkan kita daripada api neraka.Mulai sekarang,kumpullah seberapa banyak aset-aset kebajikan dan rebutlah peluang berbuat kebaikan selagi umur masih bersisa.Firman ALLAH Azza Wajalla dalam ali-Imran ayat 133,mafhumnya:
Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa“.

Categories:

Leave a Reply

There was an error in this gadget